fbpx

11 sekeluarga hidup berhimpit selepas sebahagian rumah rosak ditimpa pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maimun (kiri) melihat anak perempuannya, Nor Asmah Mohd. Ramli menyusun barangan dapur yang terpaksa diletakkan di ruang tamu selepas dapur rumah mereka di Kampung Limau Manis, Sepang rosak dihempap pokok dalam kejadian ribut Selasa lalu.

Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL

SEPANG – Seorang warga emas bersama 10 ahli keluarganya terpaksa menjadikan ruang tamu sebagai ruang makan setelah bumbung dan siling bahagian dapur rumah teruk dihempap pokok durian berikutan angin ribut yang melanda Kampung Limau Manis, Selasa lalu.

Mereka sekeluarga juga terpaksa tinggal dalam keadaan berhimpit dan serba tidak selesa apabila rumah serta bilik turut dinaiki air dalam kejadian tersebut.

Mangsa, Maimun Majid, 68, berkata, ekoran kejadian itu, dia terpaksa memunggah semua jenis barangan dapur untuk diletakkan di ruang tamu buat sementara waktu.

“Semua makan dan tidur di sini (ruang tamu). Nak cakap selesa atau tidak memanglah kurang selesa, tetapi macam mana nak buat, dah jadi macam ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagaimanapun katanya, atas insiatif sendiri dan untuk keselamatan keluarga, menantunya telah memotong pokok durian tersebut.

“Semua kami buat sendiri, tapi bahagian bumbung dan siling yang terjejas belum lagi dibaiki.

“Sejak dari kejadian itu, saya dan keluarga sentiasa berjaga-jaga. Bila tengok langit gelap sahaja, memang risau juga khuatir kalau-kalau rumah dinaiki air,” katanya.

Katanya, dianggarkan kerugian yang dialami dalam kejadian yang pertama kali berlaku itu kira-kira RM20,000.

Terdahulu, Maimun menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Srikandi Pertiga Selangor yang menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada 37 buah rumah yang terjejas.

Pengerusinya, Norhayati Gdass berkata, kunjungan pihaknya ke rumah mangsa-mangsa terjejas itu bagi membantu meringankan beban mereka.

“Berdasarkan lawatan ini, kami akan lihat bantuan susulan lain yang dapat disalurkan dengan segera.

“Saya juga menyeru NGO lain, supaya peka dan prihatin dari sudut keperluan mangsa yang terlibat sebab bencana ini datang tanpa diduga,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI