PUTRAJAYA – Bermula hari ini, individu warganegara dan warga asing yang tiba dari Sabah di semua Pintu Masuk Domestik dan Antarabangsa diwajibkan menjalani saringan pengesanan Covid-19 dan saringan gejala jangkitan saluran pernafasan.
Arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan itu terpakai sehingga 10 Oktober depan selepas mengambil kira situasi penularan jangkitan di Semenanjung membabitkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, semua individu yang tiba dari Sabah juga diwajibkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dari tarikh ketibaan di Pintu Masuk Domestik dan Antarabangsa sehingga keputusan makmal diperoleh.
Beliau berkata, kesemua individu yang tiba dari Sabah akan diberi surat HSO dan dipakaikan gelang kuarantin.
“Mereka wajib memuat turun, mendaftar aplikasi MySejahtera dan daftar masuk menggunakan aplikasi ini setibanya di pintu masuk negara.
“Jika terdapat individu yang perlu meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi dan Grab, surat kebenaran untuk ke alamat yang ditetapkan akan diberikan pada hari tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar semalam.
Noor Hisham berkata, mana-mana individu yang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang perlu menjalani saringan ulangan Covid-19.
“Pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal menunjukkan negatif Covid-19. Saringan ini dikecualikan caj ujian Covid-19,” katanya.
Sehingga kini, terdapat 21 kes positif membabitkan individu yang pulang dari Sabah termasuk 11 kes baharu yang dilaporkan semalam.
Justeru, ujarnya, terdapat keperluan untuk melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 ke atas individu balik dari Sabah bagi memantau risiko penularan.
“Tempoh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 ke atas individu yang baru pulang dari Sabah akan disemak dari semasa ke semasa, berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan,” katanya.