MADRID – Bintang Atletico Madrid, Luis Suarez sudah tidak sabar untuk mencipta impak bersama pasukan baharunya itu menjelang aksi La Liga menentang Granada di Stadium Wanda Metropolitano malam ini.
Suarez, 33, dijangka diletakkan di bangku simpanan terlebih dahulu kerana belum cergas sepenuhnya tetapi kemampuan bekas penyerang Barcelona itu untuk menjaringkan gol sudah terbukti meskipun sebagai pemain gantian.
Penyerang Uruguay itu juga bertekad untuk memastikan The Catalan berputih mata kerana keputusan mereka untuk melepaskannya walaupun memegang status sebagai penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman kelab tersebut.
“Atletico adalah sebuah kelab besar dan mempunyai pemain-pemain hebat yang sentiasa berjuang untuk memastikan mereka sentiasa berada di atas. Ia adalah salah satu faktor saya memilih pasukan ini.
“Malah, ketua jurulatih (Diego Simeone) berjaya meyakinkan bahawa Atletico mampu bersaing merebut kejuaraan musim ini. Saya sudah tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada sejarah Atletico,” kata Suarez.
Sebagai rekod, Suarez telah menjaringkan 198 gol dalam 283 penampilan untuk semua kejohanan bersama Barcelona sejak berhijrah daripada Liverpool pada 2014.
Sejak itu, bekas penyerang Ajax tersebut berjaya dinobatkan sebagai penjaring terbanyak La Liga dengan memenangi Trofi Pichichi pada musim 2015/2016 dan membantu Barcelona meraih banyak kejuaraan. – AGENSI