BARCELONA – Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT) menampilkan aksi cemerlang apabila dua pelumbanya, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo akan memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Barcelona hari ini di barisan hadapan.
Pada aksi kelayakan yang berlangsung di Litar Catalunya malam tadi, Morbidelli melakukan tunggangan cemerlang dengan menempah petak hadapan apabila melakukan catatan masa 1:38.798 saat (s).
Morbidelli mengakui dia sangat gembira untuk memulakan perlumbaan di petak hadapan, lebih-lebih lagi apabila mengenepikan cabaran rakan sepasukannya, Quartararo.
“Secara jujur, saya gembira untuk atasi Fabio (Quartararo) kerana ia membuktikan anda seorang pelumba yang bagus serta pantas. Dia bukanlah calang-calang pelumba.
“Saya memang mahu buktikan sesuatu pada sesi kelayakan hari ini (semalam), jadi saya rasa puas kerana berjaya lakukannya. Saya akan cuba tampilkan aksi seperti ini esok (hari ini),” kata Morbidelli.
Sementara itu, petak kedua buat Quartararo sedikit sebanyak memberi suntikan motivasi buat pelumba Perancis itu bagi memperbaiki kedudukan dalam carta kejuaraan dunia.
Pada masa sama, pelumba pasukan Monster Energy Yamaha, Valentino Rossi turut berada di barisan hadapan bersama Morbidelli dan Quartararo apabila menamatkan aksi kelayakan di tempat ketiga. – AGENSI