KUALA LUMPUR – Kempen politik ‘Sabah untuk orang Sabah’ yang digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah perlu ditamatkan kerana ia merupakan satu pendekatan politik ke belakang.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz berkata, kempen itu tidak patut didendangkan lagi oleh mana-mana pemimpin politik di negara ini.
“Ya, Rakyat Sabah mungkin tidak berpuas hati dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu, tetapi apakah penyelesaiannya adalah `Sabah untuk Sabahans’.
“Kelantan pun sama seperti Sabah. Masing-masing tidak berpuas hati dengan kerajaan BN terdahulu tetapi dengan perubahan politik baru yang menyaksikan kerajaan baru di Putrajaya lebih terbuka dan adil untuk negeri-negeri Persekutuan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok seterusnya berkata, kempen `Sabah untuk orang Sabah’ adalah palsu dan berkarat kerana yang sepatutnya adalah `Malaysia untuk Sabah’.
Menurut beliau, `Malaysia untuk Sabah’ adalah lebih baik kerana cinta kepada negeri sendiri tidak pernah berlaga dengan cinta terhadap negara sendiri.
“Alhamdulillah, rakyat Sabah menepati citarasa politik baru yang segar,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata, Pas menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perikatan Nasional (PN) dan BN walaupun tidak meletakkan calon dalam PRN Sabah.
“Ini adalah pernyataan sokongan dan semangat setiakawan Pas. Ahli dan penyokong Pas sedia berkorban demi kepentingan negara dan perkongsian yang dibentuk,” katanya. – K! ONLINE