fbpx

Kepala berdarah ditimpa kayu atap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rahimah menunjukkan kesan jahitan di kepala suaminya selepas ditimpa kayu atap yang patah dalam kejadian ribut di Kampung Dioh Besar, Kuala Pilah kelmarin.

Oleh NOR AINNA HAMZAH

KUALA PILAH – Sepasang warga emas terpaksa menerima lima dan 20 jahitan di kepala selepas cedera akibat ditimpa kayu atap rumah mereka yang patah dalam kejadian ribut di Kampung Dioh Besar dekat sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 4.30 petang itu berlaku ketika Hamid Mohamad, 67, cuba menyelamatkan cucunya yang berusia 10 bulan ketika bayi itu merangkak di ruang tamu.

Hamid memberitahu, dia menerima 20 jahitan, manakala isterinya, Rahimah Ahmad, 63, menerima lima jatihan di kepala masing-masing akibat kejadian tersebut.

Mengimbau semula kejadian itu, Hamid memberitahu, kayu bumbung rumahnya patah selepas ditimpa pokok tumbang susulan ribut yang melanda kampung itu.

“Sebelum kejadian, saya dan isteri sedang duduk di sofa, manakala cucu sulung lelaki berusia 10 bulan yang baru belajar merangkak di ruang tamu.

“Tiba-tiba saya dengar bunyi kuat dan terus menyelamatkan cucu sebelum kami ditimpa kayu tersebut. Saya tidak menyangka cecair yang mengalir di kepala adalah darah kerana saya ingatkan ia air hujan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, mereka kemudian dikejarkan ke Hospital ­Tuanku Ampuan Najihah selepas menantunya, Mohd. Rozi Sharif, 48, menyedari kepala dia dan isterinya berdarah tidak henti-henti.

Menurut Hamid, anak pe­rempuannya turut cedera kerana melindungi anaknya dan kejadian itu berlaku begitu pantas hinggakan banyak kayu serta dahan bersepai di atas lantai rumahnya.

Sementara itu, Rahimah memberitahu, hujan mula lebat pada pukul 4 petang.

“Suami baharu sahaja beri­tahu angin kuat, tiba-tiba terus atap, kayu, dahan pokok dan zink jatuh menghempap kami. Kejadian angin kuat menyebabkan pokok durian pusaka berusia lebih 60 tahun tumbang dan dahan pokok petai berusia 30 tahun merekah jatuh ke atap rumah.

“Jumlah kerugian dianggarkan lebih RM20,000 membabitkan struktur atap, pendawaian elektrik dan perabot,” katanya yang memberitahu kerja pembersihan dilakukan oleh anggota bomba.

Ketika ini, pasangan itu tinggal di rumah anak mereka di Sungai Layang, Selaru sementara menanti rumah siap dibaiki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI