KUALA LUMPUR – Diam-diam berisi. Pelakon Yana Samsudin, bakal menimang cahaya mata keduanya tidak lama lagi apabila kini hamil lapan bulan.
Berita gembira tersebut dikongsikan suaminya yang juga pelakon dan pengarah, Fadzil Zahari, 37, menerusi Instagram miliknya.
“Saya nak maklumkan kepada kawan-kawan dan saudara semua yang isteri abang dah hamil lapan bulan selepas tiga tahun menunggu dan usaha.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Hanya Allah SWT yang dapat balas jasa kalian semua,” katanya.
Menariknya, perkara tersebut dikongsikan adik kepada pelakon Farid Kamil itu sempena hari ulang tahun kelahiran Yana yang jatuh pada tanggal 25 September, semalam.
Yana dijangka melahirkan anak kedua mereka pada bulan depan.
Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 13 Februari 2015.
Hasil perkongsian hidup, Yana dan Fadzil dikurniakan cahaya mata sulung, Aisy Mateen yang kini berusia empat tahun. – K! ONLINE