Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berjalan lancar di semua 741 pusat mengundi hari ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, peratusan keluar mengundi juga meningkat antara 10 hingga 11 peratus setiap jam dengan 32 peratus direkodkan sehingga 11 pagi tadi.
“Pemantauan pegawai SPR di kawasan pantai timur Sabah juga yang kini berada dalam zon merah turut mendapati proses pengundian berjalan lancar.
“Kita berharap pengundi akan terus menjalankan tanggungjawab masing-masing sebelum pusat pengundian ditutup jam 5 petang ini.
“Walaupun adanya kesesakan dibeberapa pusat pengundian tetapi SPR tidak dapat melanjutkan tempoh pengundian melebihi masa sudah ditetapkan.
“Tempoh mengundi bermula jam 7.30 pagi hingga 5 petang sudah digazetkan dan ia perlu dipinda semula jika mahu tempoh masa tambahan diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac di Sembulan hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, SPR juga tidak menerima sebarang aduan serius setakat hari ini dan hanya sebuah barong panas ditutup dan bendera parti bertanding dicabut kerana berada dalam jarak kurang 100 meter dari pusat pengundian.
“Secara keseluruhannya, SPR berpuas hati dengan perjalanan pengundian hari ini dengan bantuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi lain yang memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
“Pengundi juga mematuhi arahan petugas di pusat pengundian dengan mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka, sanitasi tangan dan pengambilan suhu badan sebelum mengundi,” katanya. -K! ONLINE