MANCHESTER – Bintang tengah Manchester United, Paul Pogba berdepan risiko kehilangan posisinya dalam kesebelasan utama pasukan itu menjelang aksi menentang Brighton pada saingan Liga Perdana Inggeris malam ini.
Pemain antarabangsa Perancis itu hanya sempat beraksi lebih kurang 60 minit ketika mereka dimalukan 1-3 oleh Crystal Palace pada aksi pembukaan liga di Old Trafford minggu lalu.
Selain gagal beraksi cemerlang, Pogba dilihat gagal mempamerkan aksi terbaik sebagai seorang playmaker dengan hantaran yang kurang sempurna dan bergelut untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik apabila beraksi terlalu perlahan.
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer membuat keputusan untuk merehatkannya pada aksi pertengahan minggu menentang Luton Town pada aksi pusingan ketiga Piala Liga Inggeris.
Pemain baharu United, Donny Van De Beek yang menggantikan Pogba pada aksi menentang Palace berjaya menjaringkan gol kira-kira 15 minit selepas dimasukkan.
Dia sekali lagi mempamerkan aksi terbaik menentang Luton apabila diturunkan selama 79 minit dan mempamerkan aksi yang pantas dan dilihat berjaya merencanakan beberapa serangan berbahaya.
Berdasarkan tahap kecergasan, Van De Beek mungkin akan menjadi pilihan selain kehadirannya memberikan variasi di bahagian tengah pasukan itu.
Selain Van De Beek, gandingan Fred dan Nemanja Matic yang diturunkan pada aksi menentang Luton Town juga berjaya menarik kepercayaan Solskjaer dengan aksi cukup kemas.
Matic dilihat hampir pasti berada dalam kesebelasan utama menentang Brighton dan Solskjaer mempunyai pilihan untuk meletakkan Fred sekali lagi sekirannya mahu memastikan United berada dalam keadaan konsisten sepanjang perlawanan. – AGENSI