Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
SEBUT sahaja nama McLaren, terus terbayang di fikiran kita sebuah kereta berkelajuan tinggi atau lebih dikenali sebagai supercar yang sememangnya sentiasa menjadi tarikan kepada peminat kenderaan tersebut.
Jenama McLaren semestinya menjadi bualan dalam kalangan peminat supercar lebih-lebih lagi jika jenama itu melancarkan model terkini yang cuba menyaingi nama-nama besar sekelasnya seperti Lamborghini, Ferrari dan Koenigsegg.
Bagi membolehkannya untuk terus bertahan dan bersaing dengan jenama besar lain, McLaren kini memperkenalkan model terbaharu, 765LT.
Berita baik kepada peminat McLaren di negara ini, baru-baru ini McLaren Kuala Lumpur melancarkan model berprestasi tinggi terbaharu itu di Shah Alam, Selangor.
Model edisi terhad itu hanya dihasilkan sebanyak 765 unit untuk pasaran global. Bagi pasaran di Malaysia, hanya terdapat 10 unit.
Supercar McLaren 765LT dibina menggunakan asas model 720S yang telah ditambah baik serta lebih eksklusif sesuai dengan tanda LT.
Apa itu LT? LT adalah singkatan kepada Long Tail bermaksud spesifikasi prestasi seperti jenama Lamborghini dengan varian SVJ dan Performante. McLaren ada varian Long Tail atau LT.
Ini merupakan model kelima yang menggunakan LT selepas 675LT, 675LT Spider, 600LT dan 600LT Spider.
McLaren 765LT menggunakan enjin 4.0 liter turbo berkembar V8 dengan kod M840T dan transmisi dual klac tujuh kelajuan.
Kombinasi enjin dan transmisi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 765PS pada 7,500 rpm dan tork maksimum 800Nm pada 5,500 rpm.
Kelajuan maksimum yang dicatatkan di atas kertas ialah 330 kilometer sejam (kmj). Kadar pecutan yang direkodkan dari 0 hingga 100 kmj ialah 2.8 saat, manakala 0 hingga 200 kmj adalah 7.2 saat.
Suspensi
Antara faktor kelajuan dan kepantasannya adalah ekoran berat McLaren 765LT hanya 1,229 kilogram (kg) kerana dibina menggunakan casis gentian fiber (carbon fiber) selain struktur depan dan belakangnya daripada aluminium.
McLaren 765LT mampu untuk berhenti pada kelajuan 100 kmj dengan jarak 29.5 meter sahaja. Supercar ini menggunakan Carbon Ceramic Disc dengan angkup brek forged aluminium enam piston di hadapan dan Monobloc empat piston di belakang.
Ia dilengkapi sistem suspensi Independent Adaptive, Dual Aluminium Wishbones, Proactive Chasis Control II dengan tiga mod Comfort, Sport dan Track.
Ia menggunakan rim bersaiz 19 inci dengan tayar 245/35 di bahagian depan, manakala saiz 20 inci dengan tayar 305/30 di bahagian belakang. Model ini hadir dengan tayar jenama Pirelli P Zero Trofeo R.
Setiap model yang dihasilkan McLaren memberikan pendekatan yang eksotik atau jarang ditemui. Reka bentuknya dibina bukan sahaja untuk efek rare tetapi bersebab dengan memastikan setiap elemen mempunyai tujuan dan berfungsi untuk prestasi yang terbaik.
Ruang kokpit 765LT mirip jentera lumba, Super Lightweight Carbon Fiber Racing Seat seperti McLaren Senna dan tali keledar keselamatan enam point berwarna hitam.
McLaren sememangnya jenama yang unggul dalam sukan permotoran. Jenama McLaren adalah bersempena nama seorang lelaki, Bruce McLaren dari Auckland, New Zealand.
Minat terhadap kereta dipupuk sejak kecil kerana keluarganya mempunyai sebuah bengkel kereta di negara kelahiran Bruce.
Bapa Bruce, Les McLaren merupakan seorang pelumba kereta turut membawa anaknya menyertai arena pelumbaan itu. Bruce mengasaskan McLaren Automotive pada 1963.
Pada tahun 1968, Bruce berjaya mencipta kemenangan sulung bersama pasukan Bruce McLaren Motor Racing di tempat pertama. Empat tahun selepas itu, ketika namanya berada di puncak
Bruce terlibat dalam kemalangan ketika sedang menguji jentera baharu McLaren untuk satu perlumbaan. Bruce maut akibat daripada kemalangan itu.
Berbalik kepada model 765LT ini, McLaren menawarkan 17 pilihan warna luaran termasuk oren nardo dan putih asap.
Ia dijual pada harga RM1,488,000 sebelum cukai. Waranti untuk melindungi kereta itu adalah selama tiga tahun tanpa had perbatuan.
Pelanggan yang berminat boleh berhubung terus dengan McLaren Kuala Lumpur.