KUALA LUMPUR – Gara-gara dikecam kerana berkongsi video suami solat di gerai jualan menerusi Instagram, Abby Abadi menempelak kata-kata netizen yang mendakwa dirinya riak dalam beribadah.
Menurut Abby atau nama penuhnya, Arbaiyah Abdul Manan, 42, video yang dikongsikan menerusi Instagram Storynya itu bukan bertujuan menunjuk atau riak dengan kebaikan suaminya, Muhammad Faizal Zakari.
“Semalam saya berkongsi video suami solat, ada direct message kata riak dan menunjuk. Saya balas semula, kalau suami muat naik sendiri mungkin seperti menunjuk tapi video itu saya yang lakukan. Allah SWT lebih tahu niat seseorang itu.
“Ini Instagram saya. Saya kongsi tazkirah, ingatkan pasal solat dalam media sosial agar lebih bermanfaat untuk orang lain. Jadi nanti kalau saya mati, ada juga kenangan indah ditinggalkan di sini,” katanya dalam satu muat naik status hari ini.
Pelakon Gerak Khas itu menambah, rugi sekiranya laman sosial digunakan hanya untuk sembang kosong tanpa sebarang dakwah dan peringatan tentang agama.
“Rugi kalau guna laman sosial hanya buat lawak merepek, menunjuk sana sini tapi langsung tak berdakwah semampu kita dan sampaikan peringatan dari DIA. Kalau dalam sosial untuk seronok je, sakit sungguh la kalau beranggapan begitu.
“Bila ajak berhibur, berpuluh kali muat naik pun tak apa, siap repost lagi. Bila pasal solat, sentap tak tentu hala. Itulah kesilapan besar kita sebenarnya,” tulis Abby.
Tambah Abby, dia meminta agar netizen yang menuduhnya muhasabah diri dan sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhan.
“Muhasabahlah. Memang tanggungjawab kita saling mengingati. Berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.
“Renung semula apa sbb Allah SWT masih izinkan kita bernyawa hingga hari ini. Berseronok selagi boleh atau ingat mati boleh datang bila-bila? Tak mengapalah, nanti bertaubat dan solat banyak-banyak, kalau mati tiba-tiba nak jawab apa pada Tuhan dalam kubur?,” ujarnya.
Terdahulu, pada Jumaat, ibu kepada tiga orang cahayamata itu berkongsi video dalam IGStorynya yang memaparkan Muhammad Faizal sedang menunaikan solat di gerai jualan pakaian jenamanya sendiri, Kernadia_byabbyabadi.
Video tersebut mendapat kritikan netizen kerana menganggap Abby berniat riak dan menunjuk-nunjuk amal ibadah yang dilakukan oleh suaminya. – K! ONLINE