KUALA LUMPUR – Seramai 10 lagi Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Semenanjung Malaysia digerakkan ke Sabah semalam bagi membantu usaha membendung penularan pandemik Covid-19 di negeri itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata Pegawai Perubatan KKM terbabit masing-masing lima dari Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
“Mereka telah selamat tiba di Lahad Datu. Kesemua petugas barisan hadapan ini telah bersiap-sedia menjalankan tugas di lapangan dalam usaha negara membendung penularan pandemik Covid-19.
“Bagi pihak rakyat Malaysia, terima kasih diucapkan kepada wira-wira negara ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau lewat malam tadi.
Noor Hisham berkata, Pegawai Perubatan KKM dari Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan adalah dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah; Hospital Jempol; Hospital Jelebu; Hospital Tuanku Jaafar, Seremban; dan Hospital Port Dickson.
Tambah beliau, Pegawai Perubatan KKM dari JKN Selangor adalah dari Hospital Serdang; Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam; Hospital Kajang dan Hospital Sungai Buloh.
Seramai 1.08 juta rakyat Sabah akan membuang undi di 2,540 saluran dan di 741 pusat mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri bermula pagi ini. – K! ONLINE