BUDAPEST – Jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick memuji penjaring gol kemenangan, Javi Martinez selepas mereka menang 2-1 ke atas Sevilla pada aksi Piala Super UEFA di Arena Puskas awal pagi semalam.
Gol itu mungkin gol terakhir yang dijaringkan pemain berusia 32 tahun berkenaan apabila dia dilaporkan akan kembali ke pangkuan kelab lamanya, Athletic Bilbao pada jendela perpindahan kali ini.
Flick mengakui Martinez merupakan seorang pemain yang baik serta versatil dan sentiasa memberikan 100 peratus setiap kali khidmatnya diperlukan.
“Javi (Martinez) menjaringkan gol dan membantu kami mencatat kemenangan. Kadang-kadang bola sepak mampu mencipta kisah indah seperti ini dan Martinez berjaya lakukannya.
“Saya tahu ada laporan yang mengatakan dia akan kembali ke Bilbao, namun dia masih mampu jaringkan gol malam ini (semalam). Dia sentiasa berikan aksi 100 peratus dan itulah mentaliti yang diperlukan,” kata Flick.
Ketika ditanya mengenai masa depan pemain Sepanyol itu, beliau enggan mengulas lanjut, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya perkara tersebut kepada Martinez.
“Mengenai masa depannya, saya tidak mahu fikir mengenainya. Apa yang penting, dia perlu buat keputusan bagi menentukan masa depannya,” ujar Flick.
Pada aksi tersebut, Sevilla terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Lucas Ocampos yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-13.
Bagaimanapun, Leon Goretzka menyamakan kedudukan minit ke-34 sebelum Martinez meledak gol kemenangan Bayern pada masa tambahan menerusi tandukan. – AGENSI