NUNUKAN – Seorang buruh binaan nekad berjalan meredah Hutan Krayan di sempadan Sarawak untuk pulang ke kampung halamannya di Kalimantan, Indonesia selepas ditipu majikan Malaysia awal bulan ini.
Syamsuddin, 51, menempuh perjalanan lapan hari di dalam hutan dengan berbekalkan air, garam dan serbuk Monosodium Glutamat (MSG).
Menurut laporan portal Kompas, isteri Syamsuddin, Nursiah memberitahu, suaminya terdesak untuk pulang ke kampung halaman selepas kecewa tidak dibayar gaji sejak bekerja di Malaysia, sebulan lalu.
Katanya, Syamsuddin yang sembilan tahun bekerja sebagai buruh binaan di Krayan, berpindah ke Malaysia Ogos lalu selepas menerima tawaran bekerja di sana.
Bagaimanapun, nasibnya kurang baik kerana ditipu majikan. Dia tidak diberi upah atau wang untuk membeli makanan.
“Suami berasa sangat tertekan dengan keadaan itu dan mengambil keputusan kembali kepada pekerjaan lama di Kalimantan.
“Dia tidak mempunyai wang untuk pulang menerusi laluan biasa, jadi dia nekad meredah Hutan Krayan yang menghubungkan sempadan Malaysia-Indonesia,” jelasnya.
Kata Nursiah, sepanjang lapan hari berjalan meredah hutan, suaminya tidak bertembung dengan binatang buas atau diganggu perkara pelik.
“Suami memberitahu dia cuma kelaparan kerana hanya menelan serbuk MSG dan garam sebagai makanan, tetapi tidak pernah dikejar binatang buas.
“Mungkin Tuhan melindungi dia kerana suami saya menjaga solat dan tidak meninggalkan kewajipan itu walaupun semasa berada dalam hutan,” tuturnya lagi.
Keluarga Syamsuddin membuat laporan orang hilang kepada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Nunukan pada 16 September lalu apabila tidak menerima sebarang khabar sejak suaminya meredah hutan.
Pada 23 September lalu, Syamsuddin ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan oleh penduduk Kampung Krayan sekali gus menamatkan misi berjalan kaki pulang ke Indonesia.
Lelaki itu disatukan dengan keluarganya dan menurut Nursiah, suaminya menyatakan kesediaan kembali bekerja seperti biasa.
“Dia memberitahu, badannya kembali sihat dan ada orang mahu memberikan dia projek bangunan untuk diuruskan.
“Kami sekeluarga gembira kerana dia selamat dan tidak cedera ketika meredah hutan tempoh hari,” katanya. – Agensi