fbpx

Buruh binaan cedera terkena peluru sesat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Suhaimi sedang menerima rawatan akibat terkena peluru sesat di Hospital Dungun semalam.

Oleh NIK NUR IZZATI HAZWANI NIK ADNAN

DUNGUN – Seorang buruh binaan yang sedang memikat ayam hutan cedera di bahagian pinggang kanan apabila terkena peluru sesat di Kampung Besut Lama, Bukit Besut dekat sini semalam.

Mangsa, Mohd. Suhaimi Damuri, 34, yang terkena tembakan itu pada pukul 2.30 petang hanya menerima rawatan lebih tiga jam kemudian apabila disedari ahli keluarganya.

Bapa mangsa, Damuri Mamat, 60, berkata, sebelum kejadian, anak lelakinya memasuki kawasan hutan tersebut bersendirian untuk menjerat ayam hutan.

“Sewaktu kejadian, anak saya sedang memanjat pokok untuk memasang jerat ayam hutan sebelum tiba-tiba dia mendengar bunyi dentuman.

“Dia berasa sakit di bahagian kanan pinggang sebelum menyedari diri berlumuran darah,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Damuri berkata, Mohd. Suhaimi kemudiannya turun dari pokok itu sambil menahan kesakitan dan berjalan kaki ke motosikal yang diletakkan di pinggir hutan sebelum jatuh pengsan.

Tambahnya, anak lelakinya telah dibantu seorang penduduk kampung yang kebetulan melalui laluan tersebut sebelum menghantarnya pulang ke rumah.

“Sebaik saya tiba di rumah pada pukul 6 petang, saya terkejut melihat anak saya (Mohd. Suhaimi) bersandar dalam keadaan lemah di tepi pintu rumah sambil berlumuran darah.

“Saya kemudiannya membawa dia untuk menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bukit Besi dekat sini dengan menaiki kereta,” katanya.

Damuri berkata, Mohd. Suhaimi kemudiannya dirujuk ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke Hospital Sultan Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan keadaannya kini dilaporkan stabil. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI