SEBERANG PERAI – Seorang wanita dipercayai kurang siuman terpaksa menanggung kesakitan selepas tersepit kakinya tersepit di celah timbunan batu besar di Pantai Bagan Ajam, Butterworth di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa sejurus menerima panggilan pada pukul 8.19 malam.
“Mangsa berusia 40-an yang dipercayai kurang siuman dikatakan terjatuh dan kakinya tersepit pada batu yang dijadikan benteng pemecah ombak.
“Mangsa kemudiannya berjaya diselamatkan selepas batu tersebut diangkat dengan kren sebelum operasi ditamatkan pada pukul 8.54 malam,” kata jurucakap itu kepada pemberita sebentar tadi.
Beliau berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya di sini bagi mendapatkan rawatan oleh ambulan Angkatan Pertahanan Awam.
Operasi itu digerakkan anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS). – K! ONLINE