LONDON – Aston Villa terus bekerja keras memantapkan pasukan itu apabila terus aktif di pasaran perpindahan dengan membawa masuk pemain-pemain baharu.
Selepas membawa masuk beberapa muka baharu, Villa dilihat masih belum berpuas hati apabila menyenaraikan dua pemain Chelsea sama ada Ross Barkley atau Ruben Loftus Cheek untuk dibawa ke Villa Park.
Sebelum ini, Villa juga dikatakan telah mengintai kelibat seorang lagi pemain Chelsea, Tammy Abraham tetapi pemain itu membuat keputusan untuk kekal di Stamford Bridge.
Bagaimanapun, difahamkan mereka akan cuba mengadakan rundingan bersama Chelsea untuk mendapatkan sama ada Barkley ataupun Loftus Cheek secara pinjaman.
Barkley diturunkan di dalam kesebelasan utama Chelsea pada saingan Piala Liga Inggeris menentang Barnsley pada pusingan ketiga awal pagi semalam dan berjaya menjaringkan satu gol.
Namun, nasib berbeza dialami oleh Loftus Cheek apabila Frank Lampard menggugurkan namanya selepas kecewa dengan aksi longlai dipamerkan pada aksi pembukaan Liga Perdana England menentang Brighton.
Aksi mengecewakan Loftus Cheek itu turut mendapat perhatian daripada legenda England, Gary Neville yang mengakui tidak terkejut sekiranya Chelsea membuat keputusan untuk menjualnya kerana prestasi yang semakin teruk. – AGENSI