KETUA jurulatih Felda United, Nidzam Jamil enggan menekan butang panik meskipun peluang pasukannya untuk kekal pada Liga Super musim depan nampak tipis selepas dipisahkan satu mata di atas zon penyingkiran.
Bagi Nidzam, situasi itu bukan asing selepas berjaya bangkit pada aksi terakhir musim lalu untuk kekal dalam Liga Super.
Katanya, skuad The Fighters mengalami prestasi merudum selepas liga bersambung bulan lalu dan mereka sekadar mengutip dua mata daripada empat perlawanan terakhir.
Justeru, Nidzam mengharapkan ada peningkatan ditunjukkan para pemainnya dalam tiga aksi terakhir bermula aksi bertemu Perak di Ipoh Jumaat ini.
“Selepas lima bulan tidak bermain, ada pasukan yang pamer peningkatan ketara dan ada pasukan yang merosot seperti pasukan Felda.
“Dalam situasi sekarang, saya tidak nafikan tuah juga memainkan peranan penting namun segala-galanya kena datang melalui usaha sendiri terlebih dahulu.
“Pengalaman musim lalu mungkin penting untuk beri keyakinan yang mereka boleh harunginya sekali lagi walaupun di atas kertas kami tidak nafikan perlawanan sukar.
“Namun, saya optimis dalam tiga perlawanan akan datang, andai kami dapat mengutip tiga atau empat mata, peluang untuk pasukan kekal dalam Liga Super juga cukup cerah,” katanya.