Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
PORT DICKSON- Tentera Darat menambah kira-kira 160 anggota bermula hari ini bagi membantu penugasan Op Penawar di Sabah termasuk di kawasan yang telah disytihar sebagai kawasan kuarantin susulan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri tersebut.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, jumlah tersebut sebagai menambah kekuatan terkini anggota iaitu seramai lebih 2,000 anggota yang telah diatur gerak mengikut operasi di negeri tersebut.
“Antara operasi yang dilaksanakan di Sabah adalah Op Pasir Utara dan Selatan, Op Pasir Pesisir Pantai, Op Balasah dan Op Penawar. Pada ketika ini Tentera Darat menyumbang atau memberi tenaga konsisten seramai kira-kira 2,000 anggota.
“Susulan peningkatan penularan Covid-19 di Sabah dan timbulkan kluster-kluster baharu jadi kami telah arahkan untuk bantu di Sabah bagi memperketatkan semula kawalan pergerakan. Jadi kami ada buat penambahan di samping sedia ada, melibatkan 160 anggota, bagi menjaga tempat-tempat tertentu yang telah diisytiharkan sebagai kawasan kuarantin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Perbarisan Sempena 100 Hari Pemerintahan Panglima Tentera Darat Ke-28 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) dekat sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman.
Sementara itu, Zamrose memaklumkan, anggota tentera darat juga sudah bersiap sedia menjalankan tugas hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung esok.
“Anggota tentera kami sudah selesaikan undi tetapi untuk esok, anggota-anggota dalam keadaan siap siaga walaupun tiada apa-apa ancaman setakat ini tetapi anggota tentera akan sentiasa membantu pihak polis sekiranya berlaku apa-apa kemungkinan yang tidak diingini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pihak Tentera Darat akan menggunakan kaedah perisikan dan teknologi bagi memperketat dan memperkukuh kawalan sempadan daratan di Sabah dan Sarawak.
“Sempadan negara kita terutama di Sabah dan Sarawak adalah panjang, agak mustahil untuk kita kawal sepanjang 1,600 kilomter itu, tapi apa yang kita buat, perisikan kita kena bagus, tampat-tempat kosong yang mana kita tidak kuasai itu akan dikuasai menggunakan perisikan.
“Jika kita dapat maklumat, kita akan buat operasi sementara di situ. Kita juga kena gunakan teknologi yang efisien antaranya menggunakan dron supaya dapat memantau sepanjang sempadan, itu dua pendekatan yang terbaik ketika ini untuk kita kawal sempadan,” katanya. -K! ONLINE