PARIS, Perancis – Pemain remaja Amerika Syarikat (AS), Caty McNally berjaya melepasi pusingan kelayakan Terbuka Perancis selepas berjaya mengatasi pemain Turki, Pemra Ozgen 5-7, 6-3, 7-5 awal pagi semalam.
Pemain berusia 18 tahun tersebut dilihat berpotensi untuk melangkah jauh pada Terbuka Perancis selepas mempamerkan persembahan terbaik di Terbuka AS baru-baru ini.
McNally melakukan kejutan di AS selepas berjaya mengatasi pemain pilihan ke-21, Ekaterina Alexandrova sebelum tewas di pusingan ketiga kepada pemain ranking No. 20 dunia, Elise Mertens.
“Saya gembira berjaya melepasi perlawanan ini dan saya akui saingan aksi kelayakan bukan mudah kerana terdapat pemain yang benar-benar baik dalam saingan ini.
“Sudah pasti impian saya untuk bersaing di pusingan ketiga nanti dan saya bertekad untuk tampil dengan aksi lebih baik berbanding di AS,” kata McNally.
McNally dijangka berdepan tugas sukar selepas berdepan pemain Mesir, Mayar Sherif selepas melakar kemenangan mudah menewaskan pemain Colombia, Maria Camila Osorio Serrano, 6-4, 6-0 dalam tempoh 67 minit.
“Saya belum pernah bertembung Mayar tetapi saya yakin ia bukan satu tugas yang mudah. Lihat kepada keputusan perlawanannya, saya perlu berjaga-jaga,” ujar McNally. – AGENSI