fbpx

K2

Kawal ekzema sebelum parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK mudah terdedah dengan ekzema yang menyebabkan kulit gatal, timbul bintik merah di pipi dan pergelangan tangan. – Gambar hiasan

APABILA berbicara mengenai kulit, ia adalah sejenis organ manusia yang paling besar. Kulit sebenarnya bertindak sebagai rintangan antara persekitran luar serta dalam badan dan ia berperanan melindungi otot dan organ lain.

Pakar Kulit, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, walaupun kulit nampak nipis tetapi ia sebenarnya mempunyai tiga lapisan yang mempunyai fungsi tertentu.

Lapisan kulit merangkumi epidermis, dermis dan hipodermis.

“Epidermis merupakan lapisan kulit paling luar dan menjadi pemisah antara organ dalaman dan persekitaran luar serta memberi pelindungan fizikal.

“Untuk bahagian dermis pula, ia berada di bawah epidermis serta mengandungi tisu penghubung yang kuat serta kelenjar peluh. Hipodermis adalah lapisan paling dalam sekali dan ia mengandungi lemak dan tisu penghubung,” katanya yang juga pengasas Klinik Lovina di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Kulit mempunyai fungsinya yang tersendiri iaitu sebagai perlindungan, pengawalan suhu badan serta deria rasa.

Ia bertindak sebagai perlindungan fizikal dan menjadi penghalang daripada jangkitan kuman atau virus.

Tanpa kulit juga, tisu serta organ dalam badan manusia akan mudah terdedah kepada kecederaan dan jangkitan.

Walaupun berfungsi sebagai pelindung, ada sesetengah yang tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah kulit.

Dr. Hamidah menjelaskan, antara masalah kulit yang kronik dan sering berlaku adalah ekzema.

Ekzema adalah satu keadaan keradangan kulit disertai rasa gatal, merah, timbul bintik dan kadangkala boleh menyebabkan pendarahan disebabkan terlalu kuat menggaru.

“Masalah ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tetapi bayi dan kanak-kanak yang sering berhadapan dengan masalah ini.

“Masalah ekzema sering berlaku di bahagian pipi, pergelangan tangan, pergelangan kaki dan lain-lain bahagian,”ujarnya.

 

KAKITANGAN di Klinik Lovina yang diasaskan Dr. Hamidah sentiasa bersedia untuk memberikan layanan terbaik kepada pesakit terutama berkaitan masalah kulit.

 

Tambahnya, ekzema bukanlah satu jangkitan dan ia tidak akan boleh berjangkit kepada individu lain.

Dr. Hamidah menjelaskan, ekzema berlaku apabila kulit tidak boleh menyimpan air sehingga menyebabkan kekeringan pada bahagian kulit.

Situasi tersebut akan menyebabkan pesakit akan mudah terasa gatal dan akan menggaru sehingga mendapat jangkitan.

“Masalah ekzema boleh berlaku jika ahli keluarga mempunyai sejarah seperti asma, resdung dan anak-anak mudah terdedah kepada masalah ini. Mereka yang ada alahan dengan makanan dan lain-lain juga mudah berdepan dengan masalah ini.

“Selain itu, mereka yang ada alahan dengan habuk, hama dan bahan kimia seperti sabun, minyak wangi dan sebagainya mudah untuk berhadapan dengan masalah ekzema.

Tambahnya, masalah ekzema sebenarnya tidak boleh sembuh dan ia cuma hanya boleh dikawal daripada menjadi lebih teruk.

Mereka yang berhadapan dengan masalah ini akan menunjukkan beberapa tanda dan gejala.

Kebiasaanya gejala ekzema akan kelihatan jika berlaku kekeringan kulit pada bahagian tangan, leher muka serta ada kesan tompok-tompok yang gatal pada bahagian tubuh badan.

Selain itu, kulit juga akan kelihatan kemerahan dan bersisik serta bengkak kecil yang berair menjadi tanda seseorang itu berhadapan dengan masalah ekzema.

Dalam pada itu, Dr. Hamidah menjelaskan, mereka yang merasakan mempunyai gejala ekzema dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan.

“Ekzema ini boleh dikawal, justeru lebih baik anda mendapatkan nasihat pakar tentang kaedah untuk mengawal masalah ini daripada ia menjadi lebih teruk.

“Bagi mereka yang alahan dari segi makanan sehingga menyebabkan berlakunya ekzema sebaiknya cuba elak daripada mengambil makanan tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, mereka yang berhadapan dengan masalah tersebut juga dinasihatkan untuk sentiasa menggunakan pelembap agar kulit tidak kering.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI