fbpx

Jangan guris hati pejuang tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SYED MOHD. HAZIQUE SYED NOR
WARTAWAN EKSEKUTIF

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padah­nya. Itulah peribahasa yang sesuai boleh diberikan kepada Calon Parti Warisan Sabah (Wa­risan), Datuk Mohamaddin Ketapi berhubung kenyataannya yang mendakwa peperangan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah hanyalah sandiwara.

Beliau didakwa berkata demikian dalam satu ceramahnya di gelanggang futsal Kampung Wawasan, Lahad Datu 20 September lalu.

Kenyataan itu mengguris pe­rasaan anggota pertahanan dan keselamatan yang selama ini bermandi darah demi mempertahankan keamanan tanah air daripada diceroboh pengganas.

Keringat pejuang bangsa, agama dan negara dalam memperjuangkan kedaulatan Malaysia tidak seharusnya dipertikaikan oleh mana-mana ahli politik demi kepentingan sendiri.

Mengulas mengenai isu itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Dasar, Politik Ekonomi dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md. Shukri Shuib menyifatkan tindakan pemimpin tersebut tidak prihatin.

“Mana-mana ahli politik tidak sepatutnya mempersenda perkara sedemikian demi kepentingan peribadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.

Katanya, semua ahli politik seharus lebih arif dengan isu-isu semasa agar tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

“Ahli politik perlu lebih profesional supaya dapat menyakinkan rakyat bahawa anda (ahli politik) yang berwibawa serta berkaliber dalam memimpin, bukannya sekadar cakap kosong.

“Kesopanan dan kesusilaan dalam Rukun Negara bukan ha­nya perlu dipatuhi oleh rakyat ­biasa sahaja, tetapi semua individu termasuk para pemimpin.

“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu menjaga setiap perkataan yang keluar daripada mulut agar tidak mengguris hati mana-mana pihak,” ujarnya.

Shukri berkata, Mohamaddin perlu menjelaskan secara terbuka mengenai kenyataan yang dibuat dalam ceramah politiknya baru-baru ini bagi memperbetulkan semula keadaan.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Zinin pula turut mengkritik kenyataan tersebut yang berbaur penghinaan terhadap anggota keselamatan yang berjuang dalam pencerobohan di Lahad Datu.

“Biarlah arena politik dimainkan dengan berfakta. Mempersendakan peranan polis dan tentera yang seolah-olah kita berperang dengan ayam dan anjing adalah tidak sepatutnya.

“Ia menunjukkan intergeriti individu penyampai yang tidak faham keperitan kita berjuang untuk mempertahankan tanah air ini daripada diceroboh pengganas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.

Jelasnya, tindakan ahli politik berkenaan jelas tidak sensitif terhadap pejuang serta waris mereka yang terkorban.

“Apakah tidak sedar bahawa nyawa insan yang gugur tidak akan kembali.

“Biarlah bercakap berlandaskan fakta kerana itu lebih matang dan berguna. Sedarlah tanpa rakyat, mana-mana ahli politik tidak akan berdiri megah di atas pentas politik,” ujarnya.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, tiada manusia yang mahu mati jika benar itu sekadar lakonan.

“Dia sudah memohon maaf, namun bagi saya perkara seperti ini jangan bercakap dahulu dan meminta maaf kemudian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI