fbpx

Isu bantuan B40 dan M40, Datin Vivy Yusof saman netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Vivy Yusof

KUALA LUMPUR – Usahawan e-dagang yang juga pemilik FashionValet Datin Vivy Yusof memfailkan saman terhadap seorang netizen wanita atas dakwaan memfitnah berhubung bantuan kerajaan kepada golongan B40 dan M40 yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof,33, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu melalui Tetuan Foong Cheng Leong & Co. pada 15 Jun lalu dengan menamakan Alia Najwa Hassannudin, 28, selaku defendan tunggal.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datin Rohani Ismail dan pengurusan kes selanjutnya telah ditetapkan pada 7 Oktober ini.

Berdasarkan penyataan tuntutan melalui carian dalam e-filing, Vivy mendakwa pada 28 Mac lalu, beliau telah menerbitkan rakaman video di akaun Instagramnya berhubung perbualan empat usahawan berkaitan status ekonomi akibat Covid -19 dan Pakej Ransangan Ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Vivy berkata pada 30 Mac lalu, defendan telah menerbitkan beberapa penyataan berkenaan plaintif di akaun Facebook dan Instagram milik defendan dan secara salah menyatakan bahawa plaintif mempersoalkan tindakan kerajaan untuk membantu golongan B40 dan M40, sedangkan mereka tidak memberi apa-apa sumbangan kepada ekonomi negara.

Usahawan wanita itu mendakwa penyataan-penyataan fitnah itu antara lainnya membawa maksud bahawa plaintif tidak bersimpati terhadap golongan B40 dan M40, bersikap angkuh, mementingkan diri sendiri dan tidak profesional serta hanya mementingkan keuntungan.

Plaintif juga mendakwa defendan turut berkata, dia tidak layak memegang jawatan di mana-mana organisasi dan terasing dengan masyarakat umum.

Berikutan pernyataan-pernyataan fitnah itu, reputasi plaintif terjejas teruk selepas pengguna-pengguna laman sosial menghina, menyerang, mengecam dan mengutuk plaintif secara terbuka.

Kata Vivy, selain itu penerbitan pernyataan fitnah tersebut telah menyebabkan suatu petisyen di laman web sekitar 1 April lalu di mana petisyen tersebut diwujudkan bagi mendesak plaintif dilucutkan daripada Ahli Lembaga Pengarah UiTM kerana menghina golongan berkenaan.

Petisyen tersebut telah ditandatangani lebih 230,000 pengguna Internet sejak ia dilancarkan.

Ikon fesyen itu mendakwa pada 2 April lalu, satu surat tuntutan telah dikeluarkan kepada defendan dan menuntut supaya defendan berhenti menerbitkan sebarang penyataan fitnah terhadap plaintif di laman sosial.

Namun plaintif juga mendakwa defendan membalas surat tuntutan melalui aplikasi Facebook tetapi gagal mematuhi kesemua kehendak plaintif.

Justeru, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, suatu perintah supaya defendan memadamkan penerbitan penyataan-penyataan fitnah tersebut selain memohon defendan menerbitkan suatu permohonan maaf (dalam bentuk video) yang akan ditetapkan plaintif. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI