fbpx

Habuan berkat kesabaran Nur Amira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMULAKAN perniagaan dengan produk sendiri memerlukan modal besar dan tidak semua orang mampu berdepan risiko kerugian jika produk gagal mendapat tempat di pasaran.

Maka, menjadi pengedar, stokis, ejen jualan atau dropship adalah antara penyelesaian untuk menjana pendapatan menerusi komisen dan keuntungan sekiranya produk berjaya dijual.

Risikonya tidak sebesar pengeluar produk yang perlu memikirkan kos pengeluaran, pembuatan, strategi pemasaran dan risiko barang tidak laku atau tidak mendapat sambutan.

Ada yang menganggap menjual produk orang lain dengan mendapat sedikit keuntungan tidak mampu membuat seseorang itu kaya dan mengaut keuntungan besar.

Bagaimanapun, wanita ini berjaya membuktikan tidak semestinya perlu menjadi pengasas produk atau mengeluarkan barangan sendiri untuk berjaya dalam perniagaan.

Bermula hanya dengan menjual barangan dan produk syarikat lain sebagai asas perniagaan selain mencari pengalaman, Nur Amira Hussin kini mampu memperoleh pendapatan bulanan lumayan.

Baru menginjak 26 tahun, namun cita-citanya besar mahu mengubah nasib diri dan keluarga.

Bagaimanapun, itu bukan omongan kosong, sebaliknya pada usia seawal itu wanita ini bijak merebut peluang di depan mata.

Mac tahun lalu menjadi titik tolak perjalanannya apabila anak bongsu daripada empat beradik ini memberanikan diri menghubungi pengasas produk minuman kesihatan dan kecantikan berasaskan susu kambing, Goatgeos untuk menjadi ejen.

“Bermula dengan mendapatkan lima kotak produk dengan satu daripadanya saya cuba sendiri di rumah. Selepas berpuas hati dengan produk itu, barulah saya memberanikan diri menjualnya secara online.

“Saya akui, penerimaan agak sukar mulanya kerana produk ini masih baru di pasaran dan tidak ramai yang kenal. Dua bulan pertama memang memeritkan kerana saya uruskan segalanya dari pengeposan dan penghantaran kepada pelanggan sendiri.

“Tapi saya tidak putus asa dan pengasas sendiri beri kepercayaan kepada saya untuk meluaskan pasaran produk ini di Johor Bharu. Dalam tempoh empat bulan saya dapat naik taraf menjadi stokis,” katanya kepada Aura sambil menyatakan turut mendapat sokongan suami tercinta dalam mengembangkan perniagaannya.

Menurutnya, ketika awal pembabitannya produk itu masih menggunakan jenama lama iaitu Lawwa sebelum dijenamakan semula sebagai Goatgeous pada September 2019.

Meneruskan perkongsian, Nur Amira berkata, perjalanannya itu tidak semudah yang disangka malah perit jerih yang dilaluinya tidak ramai yang tahu.

Pernah berpanas terik berniaga ayam gunting di gerai tepi jalan, bahkan pelbagai pekerjaan lain dilakukan demi sesuap nasi.

Banyak pahit manis yang dilalui dan tidak dapat dilupakan, tapi itu semua asam garam yang perlu ditempuhi sebagai peniaga.

 

NUR AMIRA (duduk tengah) bersama barisan ejen dan stokis yang berada di bawah seliaannya.

Namun, benarlah kata orang, berkat berbakti kepada ibu bapa pasti ada habuan menanti, wanita ini mengakui mungkin kerana keikhlasannya menjaga bapanya yang bermasalah jantung serta ibu yang semakin uzur diizinkan Allah untuk menerima rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Saya anak bongsu dan memikirkan keadaan ibu bapa yang semakin meniti usia, saya ambil keputusan untuk tidak sambung pelajaran kerana mahu menguruskan dan menghantar mereka ke hospital.

“Ayah pernah dikejarkan ke hospital kerana masalah jantung dan ketika itu saya sedang bekerja di kedai menjual telefon bimbit. Saya berhenti kerja kerana tidak mahu perkara seumpama ini berlaku, jadi bertitik tolak
daripada itu saya mahu berniaga online saja kerana dapat beri sepenuh perhatian kepada mereka.

“Saya tahu jika kita rajin berusaha tidak mustahil boleh memperoleh pendapatan seperti bekerja makan gaji. Saya sudah buktikannya, malah kini sudah menjadi master stokis dan melatih lebih 25 ejen dan stokis di bawah bimbingan saya,” ujarnya.

Percaturan Nur Amira membuahkan hasil, malah dia tidak pernah sangka daripada pendapatan ratusan ringgit, perniagaan yang hanya menggunakan platform dalam talian ini mampu mencecah pendapatan lima angka sebulan.

Lebih membanggakan apabila usahanya ini juga menjadi platform buat suri rumah untuk mencari pendapatan sampingan dengan menjadi ejen dan stokis. Itu sudah cukup menggembirakannya.

 

PENAT lelah Nur Amira dalam bidang perniagaan mendapat sokongan daripada suami tercinta.

Fokusnya bukan saja untuk mengambil keuntungan seorang diri, tapi ingin membantu lebih ramai menjana pendapatan dengan mudah hanya dari rumah dan secara online.

“Bagi saya, tujuan berniaga bukan semata-mata untuk keuntungan. Saya ingin membantu pelajar dan suri rumah yang mahu mencari pendapatan sampingan untuk menampung kehidupan mereka yang kian mencabar.

“Kalau boleh, saya juga mahu melihat lebih ramai terutama golongan muda untuk menjadi peniaga dan usahawan.

“Sebagai anak pula, tentu saya berhasrat mahu membantu ibu bapa dan memberi kesenangan selagi mereka masih ada. Sebab itu saya berusaha keras sehingga kini untuk mencapai impian dan membantu orang lain melalui usaha kecil ini,” katanya yang menantikan cahaya mata sulung tidak lama lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI