PASANGAN adik-beradik, Faizal dan Mohd. Fitri Saari menepati tanggapan bahawa mereka berdua berhak disenaraikan dalam barisan pemain skuad hoki kebangsaan selepas ini.
Arena hoki negara sebelum ini dikejutkan dengan berita pengguguran Faizal, 29, dan Fitri, 27, daripada skuad kebangsaan ketika di bawah kendalian bekas pengendali dari Belanda, Roelant Oltmans awal tahun ini.
Walaupun sudah lama tidak beraksi, namun ia tidak menjejaskan prestasi kedua-dua pemain itu yang menjadi tunjang utama kejayaan Terengganu mara ke pentas final Piala Tun Abdul Razak musim ini.
Mereka berdua terutama Faizal yang kini mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 15 gol, berjaya membantu Terengganu menewaskan Pahang 4-3 dalam aksi sengit separuh akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.
“Saya mahu membantu Terengganu muncul juara musim ini. Jika berjaya, ia amat bermakna buat saya selain meraih anugerah sebagai penjaring terbanyak,” katanya selepas tamat perlawanan.
Dalam aksi itu, Fitri berjaya memainkan peranan sebagai arkitek bahagian tengah selain berjaya menjaringkan dua gol pantas dalam tempoh seminit iaitu pada minit kelima dan keenam.
Faizal yang selama ini diberi gelaran sebagai ‘mesin gol’ Malaysia terus mempamerkan ketajamannya apabila turut berjaya menjaringkan dua gol buat Terengganu pada minit ke-20 dan 59.
Pahang yang berhempas pulas dalam perlawanan itu terpaksa akur gagal ke final walaupun berjaya meledak tiga gol melalui Muhammad Firdaus Noor Rosdi pada minit ketiga dan Muhammad Idris Samad (m-52, m-59).