PARIS – Seorang lelaki bersenjatakan pisau mencederakan dua orang dalam insiden disyaki serangan keganasan di luar bekas pejabat akhbar mingguan satira, Charlie Hebdo di Paris hari ini.
Kejadian berlaku ketika perbicaraan sekumpulan lelaki yang didakwa bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai kakitangan akhbar berkenaan pada 2015 memasuki minggu ketiga.
Polis Paris berkata, dua orang parah dalam serangan itu yang disiasat pendakwa raya khas antikeganasan. Angka awal menyatakan bahawa empat orang cedera dengan dua mangsa parah.
“Kami memberkas suspek tidak jauh dari lokasi kejadian di Paris dan dia bakal berdepan pertuduhan cubaan membunuh berkaitan keganasan dan bersubahat dengan pengganas,” kata polis.
Sumber kehakiman pula berkata, suspek kedua turut ditahan di lokasi sama.
Laporan awal menyebut terdapat dua penyerang tetapi polis kemudian memberitahu bahawa seorang penyerang terbabit dalam insiden itu.
Seorang staf agensi penerbitan berita Premieres Lignes berkata, dua rakan sekerjanya cedera dalam serangan itu.
“Dua rakan sekerja keluar merokok di tepi jalan. Saya kemudian terdengar jeritan. Saya bergegas ke tingkap dan melihat dua rakan sekerja itu berdarah dan dikejar seorang lelaki bersenjatakan pisau,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, lima sekolah di kawasan itu segera ditutup dan tiada sesiapa dibenarkan masuk atau keluar.
Charlie Hebdo telah mencetuskan kemarahan ramai orang Islam di seluruh dunia dengan menyiarkan kartun Nabi Muhammad dan sekali lagi menyiarkan karikatur biadab itu pada bulan ini.
Seramai 12 orang termasuk kartunis terkenal Perancis terbunuh dalam serangan tersebut pada 7 Januari 2015. – AFP
.