PARIS – Tindakan biadap pemain sayap Paris Saint- Germain, Angel Di Maria meludah pemain pertahanan Marseille, Alvaro Gonzales bulan lalu menyebabkan dia menerima padah selepas digantung empat perlawanan dalam saingan Ligue 1.
Di Maria melakukan aksi tidak profesional itu ketika mereka tewas 0-1 pada pertembungan Le Classique pada 14 September lalu.
Pada saingan tersebut, perlawanan terpaksa dihentikan pada minit terakhir perlawanan selepas tercetus insiden pergaduhan hingga menyebabkan pengadil perlawanan melayangkan lima kad merah.
PSG menerima tiga kad merah menerusi Layvin Kurzawa, Leandro Paredes termasuk Neymar turut diarah keluar padang selepas dilihat menampar kepala Gonzalez.
Pasukan pelawat, Marseille juga kehilangan dua pemain terbaiknya, Jordan Amavi dan Dario Benedetto yang turut terlibat dalam insiden berkenaan.
Namun, skuad PSG kendalian, Thomas Tuchel berpeluang menyenaraikan pemain Argentina itu ketika menentang Reims, hujung minggu ini, berikutan hukuman tersebut hanya berkuat kuasa Selasa depan.
Pemain Argentina itu akan terlepas perlawanan Ligue 1 bertemu Angers, Nimes, Dijon dan Nantes nanti.
Selepas tewas dalam dua perlawanan awal musim ini, PSG kini meraih mata maksimum dalam dua perlawanan terakhir apabila menundukkan Metz dan Nice. – AGENSI