fbpx

De Boer bakal kemudi Belanda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DE BOER dilantik sebagai jurulatih baharu Belanda menggantikan Koeman yang menerima tawaran sebagai jurulatih Barcelona. – AFP

AMSTERDAM – Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB) melantik Frank De Boer sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan negara itu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Ronald Koeman yang kini menjadi pengendali Barcelona.

De Boer, 50, mengikat kontrak selama dua tahun sehingga Piala Dunia 2022 dan akan memulakan tugasan pertamanya bersama The Oranje menentang Mexico dalam aksi persahabatan dan dua perlawanan Liga Negara-­Negara Eropah bulan depan.

KNVB pastinya mengharap­kan keputusan yang positif dalam tiga perlawanan itu terutama dua aksi Liga Negara-Negara Eropah berdepan Bosnia serta Itali yang dijadualkan pada 11 dan 14 Oktober ini.

Sebagai rekod, De Boer pernah mempunyai rekod cemerlang sebagai ketua jurulatih selepas berjaya mengemudi Ajax menjuarai gelaran Eredivisie iaitu liga utama Belanda selama empat musim berturut-turut dari 2011 hingga 2014.

Bagaimanapun, sentuhannya tidak menjadi dengan kelab luar dari Belanda apabila cuma bertahan selama 85 hari sebagai pengendali Inter Milan pada 2016 dan 10 minggu sahaja bersama Crystal Palace sebelum dipecat tahun lepas.

Namun, De Boer kembali membuktikan kebolehannya apabila membimbing Atlanta United merangkul kejuaraan di Amerika Syarikat sebelum melepaskan jawatannya pada Julai lalu.

Kini, tugas De Boer dilihat lebih mencabar kerana beliau perlu memastikan Belanda mengharungi kempen cemerlang pada Kejohanan Euro yang ditunda ke tahun depan ekoran penularan wabak pandemik Covid-19. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI