BARCELONA – Kelab gergasi La Liga, Barcelona mungkin mampu melakukan penjimatan kewangan selepas lima kelab utama Eropah bersedia mendapatkan pemain pertahanannya, Samuel Umtiti.
Kecederaan lutut yang dialami menyebabkan karier Umtiti bersama The Catalan agak terencat biarpun pembeliannya adalah untuk mengisi kekosongan di bahagian pertahanan pasukan itu untuk jangka panjang.
Laporan media di Perancis menyebut, Umtiti bakal mengikuti jejak Arturo Vidal, Ivan Rakitic, Nelson Semedo dan Luis Suarez meninggalkan Camp Nou pada jendela perpindahan kali ini.
Barcelona sebelum ini mendedahkan, lima kelab cuba mengadakan rundingan mengenai potensi perpindahan Umtiti di mana Arsenal dan Manchester United menjadi kelab yang mempamerkan minat yang tinggi.
United dilaporkan mahu mendapatkan seorang lagi pemain pertahanan untuk memberikan saingan kepada Victor Lindelof dan Eric Bailly untuk membentuk gandingan bersama Harry Maguire.
Selain itu, Arsenal juga menganggap kehadiran Umtiti sebagai jawapan untuk menyelesaikan isu benteng pertahanan mereka yang rapuh sejak beberapa musim lalu selain impian mereka untuk mencabar kejuaraan liga musim ini. – AGENSI