fbpx

Bantulah rakyat, bukan main politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SUHANA MD. YUSOP
PENGARANG BERITA

Politik negara memasuki episod baharu kelmarin selepas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan telah memperoleh sokongan majoriti ahli parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.

Pengumuman yang dibuat di sebuah hotel di Kuala Lumpur itu turut mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tumbang.

Bagaimanapun, walaupun didesak oleh wartawan, Anwar didakwa enggan mendedahkan jumlah majoriti dan nama ahli parlimen yang menyokongnya sehingga ada cakap-cakap mengatakan ia hanya gimik politik berikutan Pilihan Raya Negeri Sabah esok.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengulas mengenai perkara itu menyatakan ia bukan pertama kali Anwar mendakwa memiliki sokongan ahli parlimen bagi membentuk kerajaan.

Bercakap menerusi Zoom di Nutanix’s Asean CIO Virtual Summit, Dr. Mahathir berkata, semua pihak perlu menunggu Ahli Parlimen Port Dickson itu membuktikan dakwaan sokongannya, memandangkan pada September 2008, beliau pernah membuat kenyataan sama.

Anwar, pada September 2008 pernah menyatakan memperoleh sokongan untuk membentuk kerajaan selepas Pakatan Rakyat tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, yang diadakan pada Mac tahun sama.

Ironinya, di saat negara sedang bergelut menangani penularan Covid-19 yang kini (sehingga kelmarin) jumlah keseluruhan yang dikesan dijangkiti sebanyak 10,505 orang dengan 145 kes baharu positif, ia tidak mampu ‘menangguhkan’ hasrat untuk membentuk kerajaan baharu.

Penularan kes Covid-19 di negara ini dengan hampir setiap hari wujud kluster baharu di Sabah ternyata membimbangkan petugas kesihatan dan rakyat. Rakyat setiap hari cuba membiasakan diri dengan norma baharu dan berdoa agar wabak yang menghantui sejak Mac lalu segera berakhir.

Kesakitan akibat ekonomi yang merundum ekoran pandemik Covid-19 dengan ramai yang kehilangan sumber pendapatan akibat syarikat tutup adalah satu mimpi ngeri buat rakyat yang tidak mahu dirasai lagi. Apa yang rakyat mahukan sekarang adalah pulihkan ekonomi.

Sebanyak 11,791 panggilan diterima talian sokongan psikososial sejak 25 Mac hingga akhir Ogos lalu iaitu 50 peratus pemanggil mengutarakan isu yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling seperti tekanan, risau serta putus harapan adalah sesuatu yang perlu ditangani

Khabar gembira yang diumumkan Muhyiddin kelmarin memberi kelegaan kepada 10.6 juta rakyat dan golongan peniaga yang terjejas. Bantuan yang akan diberikan berperingkat ini sedikit sebanyak meringankan beban orang ramai. Inilah yang sepatutnya diperjuangkan.

Bagaimanapun, jika benar sokongan majoriti yang dinyatakan itu, biarlah rakyat yang membuat keputusan berdasarkan Pilihan Raya Umum agar kemelut politik yang berlarutan sejak pertukaran kerajaan lebih tujuh bulan lalu tidak sentiasa berulang.

Rakyat bijak memilih, pihak yang mampu membantu mereka di saat berdepan situasi sukar. Kuasa rakyat adalah penentu, terpenting pemimpin mana yang dipilih, maka seharusnya ia diterima oleh semua pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI