fbpx

APMM rampas bot pukat rawa sorong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH bot ditahan APMM kerana disyaki menangkap ikan menggunakan pukat rawa sorong pada kedudukan sekitar 0.2 batu nautika dari barat Pantai Sungai Baru, Kuala Perlis awal pagi ini.

Oleh NUR NAZLINA NADZARI

KANGAR – Seorang nelayan tidak sempat menangkap ikan menggunakan pukat haram jenis rawa sorong selepas kegiatannya itu disedari penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Perlis dekat sini awal pagi ini.

Bot tersebut dikesan APMM pada kedudukan 0.2 batu nautika dari barat Pantai Sungai Baru kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Shafie Paing berkata, anggota penguat kuasa APMM yang sedang melakukan rondaan rutin mengesan kegiatan menangkap ikan menggunakan kaedah rawa sorong.

“Semasa menghampiri bot tersebut, bot peronda APMM terlanggar satu objek keras pada permukaan air iaitu buluh panjang yang dipercayai digunakan nelayan itu untuk menangkap ikan.

“Nelayan terbabit disyaki membuang buluh panjang itu sebelum melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, bot APMM bertindak mengejar bot berkenaan sebelum mendapati seorang nelayan terjun ke dalam laut dengan meninggalkan bot.

“Dia dilihat melarikan diri ke daratan berhampiran,” ujarnya.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut mendapati tiada hasil tangkapan yang mana nelayan terbabit disyaki baru sahaja keluar untuk menangkap ikan.

“Bot dan enjin sangkut bergalah yang dirampas dianggarkan bernilai RM6,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan untuk menangkap ikan

“Kes tersebut juga disiasat di bawah Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 jadual 2 iaitu menggunakan kaedah penangkapan ikan dengan menolak di sepanjang dasar laut menggunakan bot berjentera,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN