MENYEDARI kepentingan bidang kesihatan sukan sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat mereka kepada masyarakat, Yakult Malaysia mengumumkan melanjutkan kerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) selama 3 tahun lagi.
Kerjasama bermula Ogos 2020 hingga Ogos 2023 itu bakal menyaksikan Yakult dilantik secara rasmi sebagai minuman probiotik rasmi ISN.
Ia turut diberi keutamaan mengadakan kerjasama bersama Ahli Jawatankuasa Penyelidikan ISN bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan terhadap penggunaan probiotik dalam bidang sains sukan.
Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli ketika ditemui berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada pihak Yakult atas sokongan yang berterus kepada ISN.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Yakult atas sokongan yang berterusan kepada ISN dan kami sangat gembira melihat kerjasama ini dapat diteruskan.
“Matlamat kami adalah untuk menyediakan servis nutrisi sukan terbaik kepada semua atlet serta meningkatkan pengetahuan mereka tentang pemakanan sukan. Kami juga berharap lebih banyak program berfaedah dapat dilakukan bersama Yakult pada masa depan,” katanya baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn. Bhd, Hiroshi Hamada berkata, Yakult sememangnya mempunyai misi untuk memberikan kesihatan dan kebahagiaan kepada masyarakat di seluruh dunia dan bidang sukan adalah salah satu cabangnya.
“Misi kami jelas dalam memberikan kesihatan dan kebahagiaan kepada masyarat seluruh dunia.
“Bidang sukan adalah salah satu daripadanya walaupun masih ramai belum memahami tentang hubung kait pengambilan minuman probiotik dengannya,” kata Hamada.
Majlis tersebut berlangsung pada 18 September lalu di Bukit Jalil sempena pelancaran Program ISN Inspire 2020 yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.