fbpx

Warga emas rugi RM50,000 atap rumah diterbangkan ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yusof (kanan) menunjukkan atap rumahnya yang diterbangkan angin ribut dalam kejadian yang berlaku Selasa lalu.

Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL

SEPANG – Sepasang warga emas terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM50,000 selepas rumah mereka di Kampung Desa Putra dekat sini ranap dalam kejadian ribut yang berlaku Selasa lalu.

Mangsa, Yusof Md. Nor 56, berkata, bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang manakala rumahnya dinaiki air dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang itu.

“Kami sekeluarga tidak sempat menyelamatkan barangan keperluan kecuali televisyen dan kipas angin.

“Barang-barang lain seperti pakaian habis basah dan dianggarkan kerugian yang dialami kira-kira RM50,000,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Yusof berkata, kejadian ribut dan hujan lebat yang meranapkan rumahnya itu adalah kali kedua sejak kejadian pertama berlaku pada Mac 2018.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama lima ahli keluarganya sedang menonton televisyen apabila hujan lebat mulai turun disertai dengan petir sabung-menyabung dan angin ribut.

“Saya terus ke bahagian anjung rumah untuk melaungkan azan dan tiba-tiba terlihat bumbung rumah terangkat diterbangkan angin manakal siling bumbung jatuh menghempap lantai tidak jauh dari tempat saya berdiri.

“Tidak lama kemudian, semua bumbung rumah terangkat dibawa angin ribut. Atap depan rumah pula terbelanting sehingga ke bahagian belakang,” katanya.

Terdahulu, Yusof menerima kunjungan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang melawat mangsa ribut dan yang terjejas.

Dalam pada itu, Noh Omar berkata, kerajaan negeri di bawah jawatankuasa bencana daerah perlu mengambil tindakan segera membantu mangsa-mangsa yang terjejas akibat ribut yang berlaku di sekitar kawasan tersebut.

Katanya, berdasarkan rekod, sebanyak 81 buah rumah di Desa Pinggiran Putra dan 41 rumah di Kampung Limau Manis terjejas akibat kejadian itu.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana mendakwa tiada wakil kerajaan turun padang untuk melihat sendiri keadaan rumah dan mangsa yang terjejas.

“Saya percaya agensi kerajaan ada saluran yang boleh memberikan bantuan segera kepada mangsa. Orang kampung sedang menanti apakah sumbangan yang boleh mereka dapat bagi meringankan beban.

“Bagaimanapun sudah masuk hari ketiga, saya kesal kerana tiada wakil kerajaan turun padang dan sepatutnya mereka sudah sedia maklum namun sebaliknya yang berlaku,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI