KUALA SELANGOR – Hasrat 30 pelajar di sebuah sekolah menengah di sini ingin menunaikan solat Asar tergendala dengan kehadiran seekor ular sawa burung sepanjang satu meter di penapis air minuman di surau sekolah tersebut semalam.
Kehadiran reptilia dengan nama saintifiknya Chrysopelea Ornata seberat 300 gram itu yang jarang-jarang ditemui itu disedari kira-kira pukul 4.05 petang oleh salah seorang jemaah tersebut.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Selangor, Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, ketika kejadian kesemua pelajar tersebut sedang menunggu waktu solat Asar di surau sekolah tersebut.
Katanya, seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 4.05 petang dan tiba dua minit kemudian.
“Berdasarkan keterangan pelajar mendapati ular tersebut didapati menyelinap masuk menerusi tingkat berdekatan dengan penapis air sebelum menyusup ke dalam penapis air tersebut.
“Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil masa selama 30 minit untuk mencari dan menangkap ular tersebut memandangkan kedudukan ular di dalam penapis tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau menambah, ular tersebut kemudiannya berjaya ditemukan di atas penutup penapis air sebelum cuba melarikan diri dengan menyusup keluar menerusi tingkap.
Shaiful Azril menjelaskan pihaknya menggunakan penyepit khas bagi menangkap ular tersebut.
“Reptilia itu kemudiannya dibawa ke APM Kuala Selangor sebelum dilepaskan di kawasan habitatnya,” katanya. – K! ONLINE