KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) wajar diadakan bagi menamatkan kemelut perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin politik.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, Perdana Menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
“Tiada pilihan selain mengadakan PRU-15 walaupun dalam keadaan negara berdepan wabak Covid-19. Perlu ingat PRU telah pun diadakan di Singapura.
“Kita boleh juga belajar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah untuk mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya,” katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau memperoleh sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu sesuatu yang serius.
Menurut beliau, perkara itu membabitkan masa depan negara dan kestabilan politik tanah air, maka risiko dan implikasinya amat besar jika ia cuma satu permainan politik.
Katanya, pengumuman itu sama seperti dilakukan Anwar pada tahun 2008, tetapi ketika itu ia cuma satu fatamorgana.
“Jika hal sama berulang ia sesuatu yang amat naif untuk Anwar kerana umum mengetahui beliau bukan sebarangan ahli politik,” katanya.