PEMAIN Terengganu FC diseru agar bangkit untuk kembali meraih kemenangan pada aksi Liga Super menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu malam esok.
Pengurus pasukan Terengganu FC, Ahmad Shahrizal Yahya berkata, kekecewaan tewas tiga aksi berturut-turut sebelum ini harus dilupakan segera.
“Kita tidak boleh lagi keciciran mata dalam tiga baki perlawanan terakhir Liga Super musim ini untuk menjamin kedudukan terbaik dalam liga.
“Sehubungan itu, aksi menentang PDRM di gelanggang sendiri malam esok (ini) wajib dimenangi untuk tiga mata penting,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu hari ini.
Ahmad Syahrizal menegaskan, pemain Terengganu FC sebenarnya tidak bermain teruk ketika menentang Melaka United, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan UiTM FC sebelum ini walaupun tewas dalam ketiga-tiga pertemuan itu.
Katanya, selain faktor nasib, beliau tidak menolak kemungkinan strategi dan taktikal Terengganu pada setiap perlawanan itu sudah dibaca pasukan lawan.
“Apa pun, saya pasti ketua jurulatih Terengganu FC, Mohd. Nafuzi Zain sudah merencana taktikal lebih ampuh untuk memburu tiga mata penting pada aksi nanti,” katanya. – K! ONLINE