KUALA LUMPUR – Pengumuman yang dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam kononnya beliau bakal membentuk kerajaan baharu bukanlah perkara baru dan mengejutkan.
Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, propaganda seumpama itu sudah dilakukan Anwar berkali-kali antaranya pada April 2008, September 2008, Februari 2020 dan terbaharu semalam.
“Kalau betul sudah memperolehi sokongan hampir 2/3 Dewan Rakyat, beritahulah kepada umum, berapa orang Ahli Parlimen yang menyokong dan dedahkanlah siapa Ahli Parlimen UMNO yang berpaling tadah.
“Anwar sepatutnya malu. Di saat negara masih berperang dengan wabak Covid-19, beliau tergamak membuat perancangan menukar kerajaan,” jelasnya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya hari ini.
Tambah Hishammuddin, Anwar sedikitpun tidak mengendahkan kebimbangan rakyat sebaliknya hanya memikirkan kepentingan peribadi yang mahu berkuasa sebagai Perdana Menteri.
“Cukup-cukuplah, rakyat sudah penat dengan semua sandiwara ini. Sudah lebih 20 tahun negara terpaksa melalui krisis politik hanya kerana Anwar Ibrahim hendak menjadi Perdana Menteri. Ia langsung tidak menguntungkan negara.
“Secara peribadi, UMNO tidak perlu layan propaganda Anwar Ibrahim. Saya melihat tujuan sidang media semalam adalah untuk mengalihkan perhatian khususnya menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah beberapa hari lagi,” jelasnya.
Tambahnya lagi, UMNO mesti berwaspada dengan taktik Anwar dan sedar akan bahaya sekiranya menyokong Anwar.
“Sebenarnya ini hanya akan membuka peluang kepada DAP untuk lebih berkuasa di negara ini seterusnya membawa mudarat kepada kepentingan agama, bangsa dan negara yang kita perjuangkan selama ini.
“Apa jua yang diumumkan oleh Anwar Ibrahim semalam, perkara paling penting untuk parti ialah fokus kepada usaha memenangi PRN Sabah. Jangan rencatkan usaha, menganggu fokus dan mematahkan semangat.
“Pendirian saya teguh dan jelas apabila saya mengambil keputusan untuk menyertai kabinet ini, ia berdasarkan prinsip dan sokongan penuh terhadap YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui tampuk kepimpinan negara,” katanya.K!ONLINE