Oleh YATIMIN ABDULLAH
RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas sebanyak 2.57 tan ayam sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM30,840 dalam serbuan di pangkalan haram Jitong di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 6 pagi itu, sekumpulan lelaki yang sedang leka memunggah kotak terus bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu sejurus menyedari kehadiran anggota PGA.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Superintendan Azhari Nusi berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan di kawasan sekitar sebelum menemui dua buah kenderaan iaitu pacuan empat roda jenis Pajero dan van yang dipercayai ditinggalkan suspek.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut diteruskan terhadap kedua-dua kenderaan itu membawa kepada penemuan bungkusan kotak ayam sejuk beku.
“Hasil siasatan awal mendapati, ayam-ayam itu dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah untuk pasaran tempatan.
“Bukan itu sahaja, status halal pada bungkusan ayam itu turut diragui,” katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di sini hari ini.
Azhari berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM70,840 termasuk dua buah kenderaan yang digunakan untuk menyeludup barangan tersebut.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011. – K! ONLINE