Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menggerakkan pegawai-pegawai perubatan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah mulai semalam bagi membantu membendung penularan Covid-19 di negeri berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pegawai perubatan berkenaan adalah dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, Kelantan, Pahang dan Hospital Kuala Lumpur.
Beliau berkata, kesemua mereka akan ditempatkan di Tawau.
“Mereka ini terdiri daripada pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Hospital Kemaman, Hospital Besut, Hospital Setiu, Hospital Dungun, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Tanah Merah, Hospital Tengku Anis, Hospital Jeli dan Hospital Gua Musang.
“Selain itu, mereka juga adalah pegawai perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Hospital Kuala Lipis, Hospital Jerantut dan Hospital Muadzam Shah,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi menerusi Facebook malam tadi.
Noor Hisham berkata, mobilisasi petugas kesihatan ke negeri Sabah ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan membabitkan pelbagai kategori penjawatan lain seperti Pakar Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat, Juruteknologi Makmal Perubatan, Pegawai Sains Mikrobiologi dan lain-lain.
Sebanyak 147 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam dengan Sabah terus mendahului dengan kes tertinggi iaitu 134 kes.
Kes berkenaan dikesan menerusi Kluster Benteng LD, Kluster Laut, Kluster Bangau-Bangau, Kluster Pulau dan terbaharu, Kluster Udin. – K! ONLINE