fbpx

Padah cakap kesat kepada polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KLANG – Perbuatan biadab seorang lelaki mengeluarkan perkataan kesat kepada anggota polis membawa padah apabila dia ditahan di Jalan Batu Nilam 3C, Bandar Bukit Tinggi di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian pukul 9 malam pada Selasa lalu itu turut mendapati, suspek berusia 38 tahun tersebut memandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila sepasukan polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mengesan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Batu Nilam 3 di sini.

Katanya, URB berkenaan telah meminta suspek berhenti, namun diingkari dan memecut laju sejauh kira-kira 30 meter sebelum ditahan polis.

“Suspek didapati enggan bekerjasama dan menyebut perkataan kesat beberapa kali kepada anggota URB tersebut ketika diminta menunjukkan MyKad dan lesen memandu.

“Pemeriksaan terhadap suspek dan kenderaan tersebut tidak menemui sebarang senjata atau barangan salah, namun ujian pernafasan mendapati suspek di bawah pengaruh alkohol,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Jelas beliau, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 45 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI