TURIN – Bekas penyerang Juventus, Alvaro Morata kembali ke pangkuan pasukan itu apabila melengkapkan perpindahan secara pinjaman untuk tempoh 12 bulan dari Atletico Madrid.
Penyerang antarabangsa Sepanyol itu akan menghabiskan sepanjang musim ini bersama juara Serie A itu selain diberi pilihan untuk melanjutkan tempoh pinjaman untuk semusim lagi.
Sebagai sebahagian daripada urusan perjanjian berkenaan, Juventus perlu membayar sebanyak £9 juta (RM47.66 juta) untuk musim pertama dan tambahan jumlah yang sama sekiranya berminat untuk mengekalkan Morata di Turin musim berikutnya juga dengan status pemain pinjaman.
Perjanjian tersebut juga menyebut jika mereka mahu mendapatkan Morata secara kekal pada musim ketiga, Juventus perlu melunaskan bayaran perpindahan sebanyak £32 juta (RM169.45 juta) sekali gus bermakna skuad kendalian Andrea Pirlo itu perlu membayar harga sebanyak £50 juta (RM264.76 juta).
Morata menjadi sebahagian daripada jentera serangan Juventus pada musim 2014 hingga 2016 termasuk meledakkan 27 gol dan membantu pasukan itu layak ke perlawanan akhir Liga Juara-
Juara sebelum kembali ke Santiago Bernebeu selepas Real Madrid mengaktifkan klausa pembelian balik.
Morata memenangi lima trofi sepanjang dua musim di Turin, dua gelaran Serie A, dua gelaran Piala Itali dan satu trofi Piala Super Itali.
“Alvaro Morata hanya sempat bersama kami selama dua musim sebelum Real kembali membawanya pulang. Bagaimanapun, sepanjang tempoh berkenaan Alvaro telah meninggalkan satu legasi kecemerlangan bersama pasukan ini.
“Justeru, kami mahu kembali mengecapi kejayaan dan momen istimewa bersamanya semula,” kata Juventus dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
– AGENSI