fbpx

Menyamar motosikal rosak sebelum samun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja pelantar minyak disamun berhampiran Hentian Rehat Bukit Besi, LPT 2 semalam. - Gambar hiasan.

Oleh NIK NUR IZZATI HAZWANI NIK ADNAN

DUNGUN – Niat baik seorang pekerja pelantar minyak mahu membantu dua penunggang motosikal bertukar tragedi apabila dia disamun individu terbabit di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran hentian Bukit Besi dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, barangan berharga termasuk beg duit dan telefon pintar milik mangsa berusia 31 tahun telah dilarikan dua penjenayah terbabit.

Sumber berkata, sebelum kejadian, lelaki tersebut yang memandu kereta jenis Honda Jazz dalam perjalanan ke Kemaman dari Ajil, Hulu Terengganu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, dia telah memperlahankan keretanya selepas melihat dua lelaki tidak dikenali sedang menyorong sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 di tepi lebuh raya.

“Dia yang bersimpati dan mahu membantu dia lelaki berkenaan yang disangkakan sedang kesusahan kerana motosikal mereka kehabisan petrol atau mengalami kerosakan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sumber itu berkata, apa yang terjadi sebaliknya apabila dia diacu sebilah pisau pada bahagian pinggang oleh salah seorang suspek sebelum barangan berharga miliknya dirampas.

Tambahnya, kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri dengan memecut laju motosikal jenis Yamaha Y15 berkenaan secara melawan arus ke arah Ajil, Hulu Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI