SEREMBAN – Mawar Medical Center menerima mesin imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) bernilai RM4.3 juta daripada Siemens Healthineers.
Pengerusinya, Datuk Lee Tian Hock berkata, pembelian mesin yang mempunyai fungsi Turbo Suite Essential itu mampu mempercepatkan proses pengimbasan sebanyak 50 peratus, sekali gus memberi kelebihan kepada pesakit untuk menjimatkan masa dalam proses MRI.
“Jika sebelum ini, proses MRI mengambil masa sejam tetapi dengan menggunakan mesin canggih ini, ia akan mengambil masa cuma 30 minit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan mesin tersebut di sini semalam.
Tian Hock menjelaskan, mesin mesin jenis Magnetom Altea 1.5 Tesla dengan teknologi BioMatrix itu berkemampuan untuk mengesan dengan lebih tepat ketika melakukan MRI.
“Terowong mesin pengimbas yang bersaiz 70 sentimeter itu memiliki ruang yang lebih luas akan memberi lebih keselesaan kepada pesakit yang bertubuh besar,” ujarnya.
Tambah beliau, proses pemasangan mesin pengimbas baharu itu akan mengambil masa beberapa minggu.
“Selepas siap dipasang, pihak Kementerian Kesihatan akan datang untuk melakukan pemeriksaan sebelum mengeluarkan kelulusan.
“Kami menjangkakan pihak hospital akan memulakan operasi mesin pengimbas ini pada bulan Disember depan,” jelas beliau.