Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
KUALA SELANGOR – Penduduk Kampung Seri Sentosa, Ijok di sini bimbang dengan kewujudan sebuah tapak pembuangan sampah di kawasan itu yang didakwa mengganggu keselesaan mereka sejak lima tahun lalu.
Mereka mendakwa, biarpun telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa, tempat tersebut masih beroperasi sehingga mengeluarkan bau busuk dan asap akibat aktiviti pembakaran sampah secara terbuka.
Seorang penduduk, Hairul Razid Mohamad Seri, 36, berkata, permasalahan itu telah kerap diajukan kepada pihak berwajib, namun masih berlarutan sehingga kini.
“Pembuangan sampah terutama oleh lori di kawasan itu dapat dilihat hampir setiap hari.
“Selain asap, bau busuk sampah itu menyebabkan rumah saya kadangkala turut dimasuki banyak lalat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Ujarnya, sisa sampah dari tapak pembuangan itu juga akan hanyut di kawasan kediaman penduduk jika banjir kilat.
Tinjauan Kosmo! mendapati, beberapa lori memasuki tapak pembuangan berkeluasan empat hektar itu dipercayai untuk membuang sampah.
Seorang warga emas, Mohamad Wagiman, 71, meminta pihak berwajib memandang serius perkara tersebut kerana ia melibatkan pencemaran dan kesihatan penduduk setempat.
“Masalah itu berlarutan sejak sekian lama dan perlu segera diatasi kerana sampah yang dibuang tidak diketahui kandungannya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Shaid Rosli berkata, beliau juga telah membuat aduan berhubung masalah itu, namun masih berlarutan.
“Selain Kampung Seri Sentosa, kawasan itu terletak berhampiran Bandar Seri Coalfields, Desa Coalfields dan Kampung Seri Aman.
“Saya meminta pihak berwajib terutama Majlis Daerah Kuala Selangor segera mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab mengendalikan tapak pembuangan sampah tersebut agar kehidupan penduduk lebih selesa,” katanya.