Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
KLANG – Kesengsaraan seekor kucing betina dipercayai kelaparan selepas tiga hari terperangkap di balkoni sebuah bangunan di Bukit Kuda di sini berakhir selepas diselamatkan pagi tadi.
Keadaan kucing itu disedari seorang peniaga wanita berusia 40-an yang mendengar bunyi rengekkan haiwan tersebut kira-kira pukul 10.53 pagi.
Ketua Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Klang, Leftenan (PA) Muhammad Najib Mohamad Isahak berkata, lima anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 10.55 pagi.
“Kami pada awalnya dimaklumkan kucing itu berada di sebuah bangunan kosong berhampiran namun gagal menemuinya.
“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati kucing itu rupa-rupanya berada di sebalik alat penghawa dingin di tingkat dua bangunan bersebelahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Ujar beliau, pihaknya kemudian menggunakan tangga untuk menyelamatkan kucing itu yang dilihat terlalu lemah dipercayai telah tiga Hari terperangkap di balkoni tersebut.
“Anggota kami kemudiannya memanjat tangga dan berjaya membawa turun kucing tersebut pada pukul 12 tengah hari,” katanya.
Tambah Muhammad Najib, kucing itu diserahkan kepada pengadu yang menyatakan hasrat untuk memeliharanya. -K! ONLINE