KLANG – Kelicikan empat penyamun memecah masuk sebuah restoran dan kedai di sini tidak bertahan lama selepas kesemuanya dicekup dalam kurang tempoh 24 jam di dua serbuan berasingan di sini semalam.
Keempat-empat suspek berusia 19 hingga 45 tahun itu ditangkap pada pukul 2.40 petang dan pukul 11 malam di Telok Gong dan Kampung Pendamar di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian pertama dilaporkan oleh seorang pengusaha restoran berusia 50 tahun di Telok Gong yang mendapati premisnya telah dipecah masuk dan mendapati beberapa barangan hilang kira-kira pukul 7 pagi.
Kata beliau, bertindak atas laporan tersebut, sepasukan petugas khas telah menahan seorang lelaki di hadapan unit sebuah rumah jenis flat di Telok Gong pada pukul 2.40 petang.
“Soal siasat terhadap suspek kemudiannya membawa penahanan rakan suspek di kawasan berdekatan.
“Polis turut merampas 14 kotak rokok pelbagai jenama termasuk Dunhill, Mevius, Rothmans of London, KYO, Peter Stuyvesant, sebatang pemutar skru dan allen key serta serpihan mesin kaunter kedai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau menambah, pihaknya turut menahan dua lagi suspek kira-kira pukul 11 pagi iaitu selang sembilan jam selepas melakukan jenayah pecah masuk sebuah kedai di Pandamaran.
Ujarnya, bersama kedua-dua suspek, polis turut merampas peralatan pecah rumah.
“Semakan terhadap keempat-empat suspek mendapati, dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE