PUTRAJAYA – Seorang wanita yang bergelar ‘Datin’ akhirnya ke penjara, selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara lapan tahun terhadapnya atas pertuduhan mendera pembantu rumah empat tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md. Said membuat keputusan itu selepas memghalusi hujahan yang dikemukakan kedua-dua pihak termasuk menolak rayuan tertuduh Datin Rozita Mohd. Ali ,46, terhadap hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2018.
Dalam penghakimannya, Kamaludin berkata mahkamah ini berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi Shah Alam mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya (yang mengenakan bon berkelakuan baik lima tahun dengan jaminan RM20,000) dengan alasan sama ada hukuman berkenaan adalah wajar atau tidak.
“Hukuman dikenakan Mahkamah Tinggi adalah mengikut trend, malah terdapat hukuman lebih tinggi yang pernah dikenakan dalam kes lain.
“Justeru dengan mengambil kira hukuman mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, adalah penjara selama 20 tahun, jadi keputusan akhir Mahkamah Tinggi (penjara lapan tahun) dikekalkan. Selain itu rayuan pendakwaan untuk menambah lagi hukuman ke atas tertuduh juga ditolak,” katanya.
Selain Kamaludin, dua lagi panel yang turut bersidang ialah Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Hakim Datuk Nordin Hassan.
Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron manakala pembelaan diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Difahamkan Rozita akan dibawa ke Penjara Kajang dan hukuman penjara itu bermula hari ini.
Berdasarkan pertuduhan pindaan, Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop lantai, sekaki payung, sebatang rod besi berwarna biru, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju berwarna putih yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang. – K! ONLINE