PELUMBA muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril tidak mahu memikirkan insiden ngeri yang menimpanya dua tahun lalu sebaliknya bertekad untuk kembali menaiki podium menjelang saingan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) yang membuka tirai minggu ini.
Pada 4 November 2018, Danial berdepan kemalangan ketika bersaing pada perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) yang hampir membuatkan kakinya dipotong apabila tulang betisnya hancur kira-kira 10 sentimeter (cm).
Selepas dua tahun menerima rawatan, dia kini bersemangat berlumba bersama pasukan SIC Junior ZK Racing Team untuk memburu podium.
“Tahun 2018 adalah detik ngeri buat saya jika kembali memikirkan insiden tersebut. Bagaimanapun, selepas kembali beraksi pada Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) 2020 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Mac lalu saya semakin bersemangat.
“Pada mulanya kaki kanan saya tidak berapa kuat dan kini semakin baik.
“Terima kasih kepada pasukan ZK Racing yang memberi kepercayaan kepada saya untuk meneruskan perlumbaan di MSBK minggu ini,”” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mengenai misinya minggu ini, Danial bertekad untuk menaiki podium memandangkan dia pernah meraih kemenangan di Sepang dalam kejohanan sama pada tahun 2018.
“Saya pernah menaiki podium tempat pertama di Sepang dan saya yakin mampu lakukannya sekali lagi. Apa pun saya perlu bekerja keras pada sesi latihan pertama untuk mendapatkan pelarasan yang sempurna.
“Saya akui saingan pasti sengit terutama daripada pasukan Honda dan Yamaha,” kata Danial yang akan menggunakan jentera Kawasaki.