KUALA LUMPUR- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) nafi mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai terdapat jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga ATM setelah mencelup jari dengan dakwat sewaktu proses mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 22 September lalu.
“Maklumat yang tular di media sosial adalah tidak benar dan boleh menimbulkan kekeliruan, kebimbangan masyarakat serta mengganggu proses PRN Sabah.
“Ditegaskan, mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” kata kenyataan yang dikeluarkan Markas Angkatan Tentera pagi tadi.
Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
“Sila dapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan situasi semasa penularan Covid-19,” ujarnya lagi.
Pagi ini, khabar angin mengatakan anggota tentera dijangkiti Covid-19 selepas mencelup jari semasa pengundian awal PRN Sabah tular di laman media sosial. – K! ONLINE