BUDAPEST – Pemain pertahanan baharu Sevilla, Marcos Acuna berharap dapat diletakkan dalam kesebelasan utama bagi membantu pasukan menahan asakan Bayern Munich menjelang aksi Piala Super Eropah di Stadium Arena Puskas, Budapest awal pagi esok.
Sebagai rekod, Acuna telah dibeli daripada pasukan Sporting Lisbon bagi menggantikan posisi bek kiri, Sergio Reguilon yang sebelum ini beraksi secara pinjaman daripada pasukan Real Madrid.
Acuna yang juga pemain antarabangsa Argentina percaya Sevilla mempunyai peluang untuk mengulangi pencapaian cemerlang terutama selepas berjaya menjulang trofi Liga Europa dengan menewaskan Inter Milan bulan lalu.
Kata Acuna, Sevilla merupakan pasukan yang cukup berkualiti di bawah bimbingan Julen Lopetegui yang terkenal dengan falsafah dan taktikal bola sepak moden.
“Saya sangat gembira apabila akhirnya dapat menyertai pasukan hebat seperti Sevilla. Ini adalah peluang untuk saya membuktikan keupayaan beraksi di tahap tertinggi dengan bimbingan jurulatih berpengaruh seperti Lopetegui.
“Secara jujur, saya tidak meletakkan harapan untuk terus berada dalam kesebelasan utama pada aksi Piala Super Eropah kerana sedar masih ada rakan-rakan pasukan yang lebih senior di sini.
“Namun, jika diberikan kepercayaan, saya pasti melakukan yang terbaik bagi mengekang asakan Bayern,” kata pemain berusia 28 tahun itu. – AGENSI